Izzudin
"Daripada Abu Hurayrah radiyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik-baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya." [Riwayat al-Bukhariy dan Muslim]

Rata-rata umat Islam, apabila ditanya, "Adakah awak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat?" Pastinya mereka akan menjawab, "Ya." Tetapi, adakah benar kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat? Dalam hadith di atas, Rasulullah telah memberitahu beberapa syarat yang menjadi bukti bahawa seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Rasanya mendiamkan diri bukanlah sesuatu yang susah, kerana mendiamkan diri itu tidak memerlukan apa-apa usaha dari anggota badan. Ibarat manusia yang pemalas, pastinya menyuruh dia diam itu lebih dia sukai dari disuruh bangun solat tahajjud pada waktu malam atau disuruh berbuat apa-apa saja pekerjaan lain!
Pun begitu, arahan sebegini ringkas payah pula diikuti. Maka sebelum apa-apa perkataan keluar dari mulut kita, periksa dahulu adakah perkataan itu baik atau tidak. Sekiranya baik, maka luahkan. Sekiranya tidak, lebih baik kita diam. Pepatah Arab ada yang bermaksud, manusia itu berkuasa ke atas perkataan selagi perkataan itu berada di antara dua bibirnya, tetapi setelah perkataan itu keluar maka perkataan itu pula yang berkuasa ke atas dirinya.
Perkataan baik itu pastilah perkataan yang akan memberi manfaat kepada kita di Akhirat kelak. Sayang sekali mulut kita lebih banyak berbicara tentang perkara yang tidak mendapat pahala dan tidak pula mendapat dosa, dan itu lebih baik dari mereka yang acapkali hanya perkataan yang jahat keluar dari mulut mereka. Perkataan yang sebenarnya menjauhkan mereka dari syurga dan mendekatkan mereka dengan neraka. Walhal bukanlah susah untuk mengawal mulut ini agar hanya megeluarkan perkataan baik-baik.
Fitrah manusia, hatta yang kafir sekalipun, menyukai manusia yang selalu berkata perkataan yang baik. Tidak ada sesiapa yang suka manusia yang suka berkata perkataan yang jahat. Bahkan ramai yang tidak suka kepada manusia yang suka bercakap banyak! Para Sahabat radiyallahu 'anhum sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kata. Mereka mengelakkan diri dari bercakap banyak walaupun dalam perkara harus, sebaliknya mereka pastikan apa sahaja yang keluar dari mulut mereka akan memberi manfaat kepada mereka di Akhirat kelak. Ibarat pekerja yang bekerja di pejabat, jika dia berpenat-lelah berbuat perkara yang disukai bos, pasti gaji cepat naik. Tetapi apa guna berpenat-lelah berbuat perkara yang tidak memberi pulangan?
Para 'ulama menggariskan panduan apa itu perkataan baik, dan perkataan baik itu berkisar kepada tiga perkara utama. Pertama, perkataan yang menggalakkan orang membelanjakan harta ke jalan kebajikan. Kedua, perkataan yang menegakkan amar makruf dan nahi munkar. Ketiga, perkataan yang dapat mendamaikan dua puak yang berkelahi.
Selain dari tiga perkara ini, maka tiada kebaikan pada perkataan tersebut. Boleh jadi ia harus, atau makruh, atau haram. Pasti ramai yang menganggap perkara ini remeh, maka ingatlah kepada dialog antara Muadz ibn Jabal radiyallahu 'anhu dengan Rasulullah yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidhi, tatkala Muadz bertanyakan baginda amalan-amalan yang memasukkan kita ke dalam syurga dan menjauhkan kita dari neraka, tatkala Rasulullah memberitahu bahawa untuk menjauhkan diri dari neraka, baginda mengisyaratkan kepada lidah sambil menyuruh Muadz menjaga lidah. Muadz sendiri bertanya kembali adakah setiap kita dipertanggungjawabkan atas segala sesuatu yang keluar dari lidah, seolah-olah takkanlah sebab lidah manusia masuk neraka? Lantas Rasulullah menjawab dengan tegas dan keras bahawa ramai manusia yang wajah mereka dihumban ke dalam neraka hanyalah disebabkan lidah mereka.
Berbalik kepada persoalan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, marilah kita renungi bersama. Ramai yang apabila ditanya, pasti akan berkata memang kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Tetapi adakah iman itu sempurna sehingga memberi kesan kepada semua tingkah laku kita: kepada mulut kita, kelakuan dengan jiran dan tetamu?
Bayangkan jika tiba-tiba kita mendapat panggilan penting daripada pejabat Perdana Menteri, bahawa esok Perdana Menteri ingin berjumpa dengan kita. Oh, esok ada appointment dengan Perdana Menteri. Pastinya hari ini segala jadual hidup dirombak. Nak pakai apa? Bahkan butang apa, kasut apa, rambut dah ok ke? Kalau belum perlu pergi salon. Kalau belum ada sut perlu pergi ke butik sekarang juga untuk mencari sut paling cantik, mahal pun tak mengapa kerana Perdana Menteri nak jumpa esok ni.
Kalau ibu bapa atau isteri atau anak-anak telefon minta tolong pun semua akan diminta tangguh, lusa saja kerana esok ada urusan maha penting kerana Perdana Menteri nak jumpa. Malamnya pula pasti tidur tak lena kerana resah mengatur bicara, apa yang hendak dicakapkan bila berjumpa nanti? Puas disusun segala ayat yang cantik seindah bahasa. Pagi-pagi lagi sudah siap, tiga jam sebelum waktu appointment sudah ada di pejabat Perdana Menteri.
Lihat bagaimana apabila kita percaya esok ada appointment dengan Perdana Menteri, habis segala urusan kehidupan kita, kita pusatkan kepada perjumpaan tersebut. Looking forward dengan bersungguh-sungguh. Penampilan, bicara semuanya dipastikan terbaik. Nah, sekarang janji appointment kita dengan Allah pada Hari Akhirat adalah sesuatu yang pasti! Semua kita akan berdiri seorang demi seorang di hadapan Allah pada hari tersebut, maka sudahkah kita membuat persiapan untuk hari tersebut? Apakah bekalan kita nanti? Apakah pula bicara kita nanti?
- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Muhammad Irfan Ariffin adalah seorang pensyarah ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran (peringkat PhD) di Carleton University, Kanada.
Labels: edit post
0 Responses

Post a Comment